JUN 2022

Sarawak Link Road Dibangun, Mudahkan Perjalanan Dari Lawas Ke Miri


KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang telah dilancarkan oleh Premier Sarawak akan terus berusaha untuk membangunkan kemudahan hubungan jalan raya di Lawas secara holistik tanpa perlu melalui negara Brunei menerusi ‘Sarawak Link Road’.

Timbalan Primer Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain memfokuskan hubungan jalan raya utama yang menghubungkan negara Brunei melalui projek Lebuhraya Pan Borneo, ‘Sarawak Link Road’ kini sudah dalam pelaksanaan pada peringkat fasa pertama daripada simpang Trusan, Lawas ke Miri.

“Kita juga akan melaksanakan pembangunan jalan raya di sempadan Malaysia di Ba’kelalan – Long Bawan, Indonesia.

“Ini penting kepada kita kerana Kerajaan Sarawak, Brunei dan Indonesia bukan sahaja mempunyai hubungan yang begitu baik tetapi mempunyai hubungan kekeluargaan antara rakyatnya,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persatuan Anak Jati Lawas di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menambah, perancangan tersebut dapat meningkatkan hubungan diplomatik antara negara jiran serta meningkatkan pembangunan untuk kepentingan semua pihak dengan perancangan untuk menjadikan Ba’kelalan dan Long Bawan sebagai sebuah pintu masuk antarabangsa.

“Oleh itu, kita akan meningkatkan kemudahan seperti bekalan elektrik di mana menjelang tahun 2030, Limbang dan Lawas akan dapat disambung dengan ‘State Grid’.

“Manakala RM400 juta pula diperuntukkan oleh Premier Sarawak untuk membuat penyambungan bekalan air di sekitar Lawas,” ujarnya lagi.

Selain itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menyeru masyarakat di Lawas untuk menggiatkan diri dalam bidang keusahawanan untuk merancakkan lagi ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pertanian menerusi ekonomi baharu dan ekonomi digital. -Edisi UKAS

Sumber dari : UKAS